Kertas kerja ini mengupas transformasi yang dilakukan oleh madrasah di Singapura khususnya dalam penyediaan pelajar sama ada dalam bidang agama mahupun akademik. Selain itu, kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah yang diambil oleh madrasah dalam menangani cabaran yang dihadapi untuk melestarikan pendidikan Islam di negara sekular Singapura. Kertas ini bersifat kualitatif dengan menggunapakai metode analisis dokumen. Hasil kajian mendapati madrasah di Singapura sentiasa dilihat dalam nuansa negatif disebabkan oleh peranan madrasah yang dianggap tidak relevan dalam pembinaan ekonomi Singapura. Selain itu, madrasah juga dilihat sebagai institusi yang konservatif dan tradisional secara tidak langsung menghalang perpaduan agama dan kaum Singapura. Cabaran menjadi lebih serius apabila pelaksanaan dasar pendidikan wajib (compulsory education) dikuatkuasa oleh kerajaan Singapura di mana madrasah hampir ditutup. Justeru madrasah di Singapura mengambil tindakan yang agresif dalam memastikan pendidikan Islam mampu berdaya saing dalam arus nasional. Hasil kajian juga mendapati pendidikan Islam di Singapura boleh dilihat berkembang melalui tiga fasa iaitu zaman kolonial di mana ia mengamalkan sistem sekular, pasca kolonial dengan sistem tradisional dan pada masa ini fasa transformasi dengan sukatan pelajaran yang bersifat holistik.
Copyrights © 2023