Kajian ini membincangkan mengenai penyatuan politik antara UMNO dan PAS pasca PRU-14 sehingga kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020. Kajian ini memfokuskan kepada kerjasama dan penyatuan antara parti UMNO dan PAS yang berkongsi ideologi yang sama iaitu Melayu dan Islam sejak berakhirnya PRU-14 yang lalu. Pelbagai faktor telah diambil kira dan hasilnya, penyatuan ini berlaku kerana persefahaman antara kedua-dua parti ini, perjuangan kearah isu yang sama serta kerajaan Pakatan Harapan sendiri yang tidak kompeten serta tidak sensitif dalam menangani isu yang melibatkan Melayu dan Islam. Melalui reka bentuk kajian kualitatif, hasil kajian ini telah berjaya menunjukkan kesan yang signifikan terhadap penyatuan ini. Kesan penyatuan UMNO dan PAS dibawah Muafakat Nasional telah memperlihatkan kemenangan BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil serta kejayaan UMNO dan PAS dalam menjuarai isu-isu yang tidak mampu ditangani oleh PH khususnya melibatkan Melayu dan Islam yang merupakan isu yang sensitif di samping ketidakupayaan kerajaan PH dalam menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan BN sebelum ini.
Copyrights © 2024