Kajian ini dijalankan untuk meninjau tahap kemahiran pengajaran dan pemudahcaraan guru berdasarkan SKPMg2 dalam kalangan guru di salah sebuah sekolah menengah Daerah Hulu Langat. Fokus kajian adalah terhadap enam standard (6) iaitu guru sebagai perancang, pengawal, pembimbing, pendorong, penilai dan murid sebagai pembelajar aktif. Sampel kajian terdiri daripada 37 orang guru yang bertugas di sekolah berkenaan. Kajian ini menggunakan pendekatan gabungan dengan menggunakan instrumen soal selidik sebagai pengumpulan data utama manakala data kuantitatif diperoleh melalui temu bual. Dapatan kajian menunjukkan terdapat guru-guru (31 orang) yang hanya menyediakan rancangan pengajaran harian (RPH) seminggu sekali sebelum dihantar kepada pihak pentadbir untuk disemak. Seterusnya dapatan kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya tahap kemahiran pengajaran dan pemudahcaraan guru dalam enam standard yang dikaji berada pada tahap tinggi (min=3.90; sp=.25).Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa isu utama dalam aspek pengajaran dan pemudahcaraan yang dihadapi dan sukar untuk diselesaikan dalam kalangan guru adalah sikap murid (14 orang). Disamping itu dapatan kajian juga menunjukkan terdapat dua (2) bantuan yang sangat diperlukan oleh guru-guruuntuk menjadi guru yang berkesan iaitu kursus berkaitan kaedah pengajaran (15 orang) dan penyediaan kemudahan peralatan pengajaran (7 orang).Pengkaji mencadangkan agar guru-guru di sekolah ini mengikuti latihan dalam perkhidmatan yang dianjurkan oleh sekolah, PPD, JPN dan pelbagai institusi pendidikan yang lain serta mengamalkan proses pembelajaran sepanjang hayat untuk menambah ilmu berkaitan pengajaran dan pemudahcaraan. Seterusnya pihak pentadbir sekolah dicadangkan untuk menganjurkan latihan dalam perkhidmatan secara berkala, khususnya yang berkaitan pengajaran dan pemudahcaraan, manakala bengkel mengikut panitia dan bidang perlulah dilaksanakan untuk meningkatkan kompetensi guru dalam pengajaran dan pemudahcaraan serta melantik mentor kepada guru-guru baharu yang memerlukan bimbingan.Kata Kunci: kemahiran pengajaran dan pemudahcaraan, SKPMG2,latihan dalam perkhidmatan