Kajian ini bertujuan untuk menentukan keberkesanan kaedah visualisasi dalam meningkatkan keupayaan menyelesaikan masalah matematik berayat di sebuah sekolah luar Bandar, Sabah. Kaedah visualisasi ini memberi fokus kepada fasa memahami masalah, yang akan membantu pelajar merancang dan seterusnya melaksanakan strategi penyelesaian masalah. Kajian ini merupakan kajian tindakan. Persampelan secara bertujuan telah dilakukan untuk memilih responden kajian iaitu terdiri daripada 12 orang pelajar tingkatan dua yang berbeza tahap kognitif(rendah, sederhana dan tinggi). Data diperoleh melalui ujian pra dan ujian pasca menyelesaikan masalah matematik berayat serta melalui pemerhatian kepada jenis gambaranvisualisasi yang dibuat oleh pelajar. Sebagai data sokongan, analisis dokumen turut dilakukan. Dapatan kajian yang dianalisis secara triangulasi data menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai tahap kognitif yang tinggi melaksanakan kaedah visualisasi secara skematik, manakala pelajar yang mempunyai tahap kognitif sederhana dan rendah pula cenderung kepada kaedah visualisasi piktorial. Walaupun jenis perwakilan visualisasi yang digunakan pelajar adalah berbeza, namun keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar meningkat. Secara kesimpulannya, situasi ini menunjukkan bahawa kaedah visualisasi membantu meningkatkan keupayaan menyelesaikan masalah matematik berayat dalam kalangan pelajar pelbagai tahap kognitif tingkatan dua di kawasan luar bandar.