Perubatan tradisional terus mekar bersama dunia perubatan moden sebagai satu kaedah rawatan penyakit kepada masyarakat. Cara rawatan tradisional menggunakan bahan daripada flora atau tumbuh-tumbuhan dan fauna iaitu haiwan dipercayai mengandungi khasiat yang tersembunyi untuk menyembuhkan penyakit. Jika dikaitkan dengan Mujarabat Melayu, ramuan flora dan fauna bermaksud bahan-bahan tumbuhan dan haiwan yang diperlukan untuk membuat sesuatu ubat bagi merawat pelbagai jenis penyakit yang disebabkan oleh faktor fizikal atau spiritual. Tumbuh-tumbuhan ini mudah didapati di sekeliling rumah dan sering menjadi perisa dan perencah makanan (seperti kunyit, daun limau purut, cekur, daun pandan, daun kari dan halia) ataupun sebagai ubat dan perhiasan halaman rumah. Selain itu, bawang merah misalnya digunakan bagi merawat luka, halia dan bawang putih digunakan untuk membuang angin dan cekur dipercayai mampu menguruskan badan. Namun, setiap bahan tersebut perlu dicampur dengan ramuan lain bertujuan menambahkan keberkesanan penggunaannya. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa cara bagi menyediakan ramuan ubat daripada tumbuh-tumbuhan seperti direbus, celur, perah, uli, sagat, goreng, tumbuk, jemur, layur, rendam, bakar, rendang, tanak, salai, keringkan, basahkan, peram, bakar, dan ramas adalah antara kaedah biasa penyediaan ramuan ubat bagi tumbuhan. Manakala, cara-cara penggunaannya pula seperti sapu, gosok, titis, demah, tuam, balut, tampal, tepek, urut, makan, minum dan mandi. Antara bahagian tumbuhan yang sering digunakan sebagai ubat atau ramuan ubat terdiri daripada daun, bunga, akar, batang, kulit biji, biji, kulit kayu, buah, air atau jus buah, akar tunjang, akar rerambut, selaput buah, duri, getah, sabut, isi, isi rong dan hampas buah. Setiap bahagian ini pula memiliki khasiatnya yang tersendiri sebagai ubat atau penawar penyakit. Selain flora, fauna juga turut dijadikan ramuan dan penawar kepada penyakit tertentu. Namun begitu penggunaannya terbatas kepada bahagian tertentu yang terdapat pada tubuh sesuatu haiwan. Misalnya bulu tarwilu cina digunakan untuk menahan darah pada luka, tanduk rusa dan tanduk kambing untuk merawat demam dan sakit kepala, hempedu ayam, hempedu lembu, dan hempedu kambing jantan untuk kekuatan syahwat. Namun begitu bahan-bahan tersebut juga perlu disesuaikan dengan ramuan lain bagi memperlihatkan kemujarabannya. Antara bahagian fauna atau haiwan yang digunakan untuk tujuan rawatan seperti darah, hempedu, tanduk dan tulang yang digunakan dengan campuran bahan lain dipercayai mampu mengubati penyakit yang dialami manusia. Justeru itu, penulisan ini akan membincangkan khasiat flora dan fauna yang dipaparkan dalam Mujarabat Melayu sebagai alternatif rawatan bagi sesuatu penyakit yang menimpa manusia.