Kajian ini membincangkan metodologi Hamka (Februari 17, 1908 - Julai 24, 1981) dalam menghasilkan kitab Tafsir al-Azhar. Ia membahaskan secara komprehensif manhaj yang dilakarkannya dan corak analisis yang diketengahkan dalam perbincangan dan penelitian ayat-ayat al-Qur’an. Latar perbincangannya yang ekstensif dan penggarapannya yang luas tentang hukum, sejarah, pemikiran, tasauf, akhlak, akidah dan peradaban menzahirkan kekuatan fikrah dan ijtihad yang diungkapkan dalam karya ini. Metode kajian adalah bersifat deskriptif dan analitik. Ia cuba meninjau tema-tema yang dibawakan dalam Tafsir Hamka dan merumuskan kefahaman dan pengaruhnya dalam pemikiran tafsir yang ingin dikembangkan. Tafsir al-Azhar merupakan karya besar yang dihasilkan dengan kekuatan analisis dan pandangan dunia yang luas yang diangkat sebagai rujukan terpenting dalam tradisi penulisan tafsir di nusantara. Ia menekankan kepada manhaj akliah dan ijtihad yang substantif yang memperlihatkan aspirasi ke arah pembaharuan dan pemberdayaan kaum Muslimin. Kesimpulan dari kajian mendapati bahawa tafsir ini menekankan corak penafsiran akliah yang mendalam dalam memahami ayat-ayat al-Quran yang terkesan dengan prinsip rasional yang meluas yang dibawa dalam Tafsir al-Manar dan memberi pengaruh yang mendalam dalam pemikiran dan tradisi tafsir yang berkembang di Nusantara.
Copyrights © 2020