Hugh Clifford pernah menulis dalam catatannya The Court and Kampung - ‘Until British interference changed the conditions which existed in Pahang, that country was the best type of an independent Malay State in the Peninsula, and much that was to be seen and learned in Pahang, in the days before the appointment of a British Resident, cannot now be experienced in quite the same measure anywhere else’. Kenyataan ini menyokong kuat wujudnya pentadbiran yang baik di negeri Pahang sebelum kedatangan British ke negeri ini. Mempunyai landskap geografi sebagai negeri paling luas di Semenanjung Malaysia, sudah pasti negeri ini memerlukan satu sistem pentadbiran yang berkesan dan kedaulatan raja memerintah yang hebat agar ia mampu berdiri teguh menyantuni sekian ramai rakyatnya. Periode Kesultanan Pahang Moden membuktikan mereka sebagai pendukung institusi ini begitu menghargai amalan istiadat nenek moyang sehingga ia menjadi premis asas pemerintahan di setiap generasi. Kajian ini bakal mengupas istiadat pertabalan diraja negeri Pahang dengan penelitian terhadap tatacara, falsafah dan akhirnya menjurus kepada satu dapatan bagaimana istiadat pertabalan diraja ini mampu berfungsi sebagai satu mekanisme kearah mewujudkan pemerintahan berdaulat. Metode yang digunakan ialah kaedah analisis kandungan dengan memperinci falsafah disebalik tatacara istiadat pertabalan diraja yang diamalkan di negeri Pahang. Turut dihuraikan isi kandung sistem adat istiadat diraja yang diamalkan melalui catatan dari naskah-naskah klasik. Hasilnya dapatlah disimpulkan, hebatnya sesebuah pemerintahan bukan sahaja ditandai oleh pembangunan fizikal malah ia turut digagaskan oleh sebuah institusi pemerintahan yang berdaulat dan mendapat kesetiaan penuh dari rakyat jelata.
Copyrights © 2021