Kajian tindakan ini dilaksanakan untuk meningkatkan kehadiran ke sekolah dalam kalangan murid Tahun 4. Kajian ini melibatkan seramai 3 orang murid lelaki dan 4 orang murid perempuan Tahun 4 dari sebuah sekolah luar bandar di daerah Kota Setar, Kedah. Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti kelebihan kaedah T-Trace dalam meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan meningkatkan jumlah kehadiran murid ke sekolah melalui kaedah T-Trace. Kajian ini menggunakan model Kurt Lewin (1946). Tindakan-tindakan intervensi yang digunakan dalam kajian ini ialah ‘Talking Token Chips’, ‘Token Race Ranking’ dan ‘Token Target’. Instrumen utama yang digunakan untuk mengumpul data dalam kajian ini ialah pemerhatian berstruktur, temu bual berstruktur dan analisis dokumen digunakan bagi menyokong data utama kajian ini. Hasil kajian menunjukkan terdapat peningkatan jumlah kehadiran ke sekolah yang signifikan dalam kalangan murid melalui tindakan-tindakan yang dijalankan. Walau bagaimanapun, pengkaji menyedari bahawa untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah tidak boleh bergantung semata-mata kepada penggunaan token. Oleh yang demikian, pengkaji mencadangkan supaya kajian berkenaan hubungan penggunaan token dengan sikap guru yang menjadi pengkaji dalam meningkatkan kehadiran ke sekolah, dan menggunakan kaedah motivasi instrinsik untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan untuk cadangan kajian seterusnya.
Copyrights © 2016