Perubahan dunia yang semakin berkembang dengan kepesatan teknologi telah menimbulkan kekhuatiran terhadap seluruh negara khususnya aspek keselamatan siber. Malahan ia telah membuka ruang kepada penjenayah siber untuk melancarkan pelbagai ancaman dan serangan. Adapun sasaran yang semakin mendapat perhatian dikalangan penjenayah siber adalah para pelajar di institusi pengajian tinggi disebabkan tempat tersebut merupakan pengguna siber yang tertinggi dan pengaksesan internet secara terbuka. Sikap pelajar merupakan salah satu teras utama dalam konteks keselamatan siber. Dengan meningkatkan kewaspadaan terhadap perlindungan peranti dan maklumat peribadi, ia mampu mengurangi risiko pelajar dalam alam siber. Oleh itu, kajian ini bertujuan meneliti sikap pelajar dalam perlindungan peranti dan maklumat peribadi sewaktu menggunakan internet. Kajian berbentuk kuantitatif ini telah dijalankan ke atas 580 orang pelajar institusi pengajian tinggi dan analisis deskriptif telah digunakan bagi menjawab objektif kajian. Hasil kajian mendapati sikap pelajar terhadap perlindungan peranti dan maklumat peribadi berada di tahap sederhana (min = 2.92). Tambahan lagi, para pelajar didapati mengamalkan sikap yang kurang memuaskan dalam aspek keselamatan siber seperti tidak mengubah tetapan menjadi tertutup, menekan pautan dan memuat turun dokumen dari sumber yang tidak dikenali.
Copyrights © 2024