Penilaian dan pentaksiran terhadap Hasil Pembelajaran Kursus (HPK) dalam sesuatu subjek menekankan aspek kemahiran pelajar dalam memberi sumbangan serta berperanan sebagai agen perubahan di dalam masyarakat. Kesedaran untuk menyuntik semangat pelajar dalam menyumbang kepada masyarakat seharusnya wujud sebagai salah satu elemen penting daripada hasil pembelajaran sesuatu kursus yang disampaikan. Artikel ini sebagai perkongsian pengalaman dalam pengajaran subjek hadis dengan menfokuskan salah satu pentaksiran kepada pelajar iaitu penghasilan projek kemasyarakatan. Kajian menfokuskan kepada dua subjek Hadis daripada Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Kajian Hadis (PPPH1133) bagi pelajar tahun 1 dan subjek Kajian Hadis Masa Kini (PPPH 3163) bagi pelajar tahun 3. Tugasan Berkumpulan bagi subjek PPPH 1133) iaitu Projek Penghasilan Video Hadis berdurasi 2 minit manakala subjek (PPPH 3163) iaitu Projek Gamifikasi Hadis berasaskan kitab Hadis 40 Imam Nawawi. Kedua-dua tugasan yang diberikan adalah bermatlamat memupuk kesedaran para pelajar dalam menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui projek tugasan berkumpulan yang telah dihasilkan. Rekabentuk kajian ini ialah kualitatif dengan menggunakan metod analisis kandungan. Implikasi kajian ialah sebagai perkongsian pengalaman pengajaran yang boleh dimanfaatkan dalam penilaian dan pentaksiran melalui tugasan berkumpulan projek kemasyarakatan seperti ini.
Copyrights © 2020