Artikel ini adalah satu meta analisis berkaitan program j-QAF yang dilaksanakan di Malaysia dalam program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI). Oleh sebab kebanyakan Guru Pendidikan Islam yang melaksanakan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas Integrasi adalah tidak berlatarkan belakangkan pengkhususan dalam bidang Pendidikan Khas maka terdapat permasalahan yang dihadapi oleh guru sebagai pelaksananya. Objektif artikel ini ialah untuk mengenal pasti pengetahuan Guru Pendidikan Islam (GPI) melaksanakan j-QAF dalam program Pendidikan Khas. Selain itu tujuannya adalah untuk mengetahui tahap kesediaan Guru Pendidikan Islam (GPI) dalam Program Pendidikan Khas Integrasi. 34 artikel telah dianalisis berkaitan dengan kata kunci yang berkaitan dengan program j-QAF . Artikel yang dirujuk bagi reka bentuk kajian meta analisis ini didapati daripada Jurnal Pendidikan Islam, Jurnal Pendidikan dan prosiding yang dicapai menggunakan pangkalan data EBSCOHOST . Dapatan daripada analisis artikel ini menunjukkan bahawa pengetahuan Guru Pendidikan Islam berkaitan pelaksanaan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas masih berada pada tahap sangat rendah. Manakala tahap kesediaan Guru Pendidikan Islam melaksanakan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas Integrasi adalah sederhana dan perlu kepada pengukuhan pedagogi pengajaran Murid Berkeperluan Khas. Hasil daripada penulisan artikel ini akan dapat menambah pengetahuan dan memperbaiki amalan pengajaran serta memantapkan pelaksanaan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas Integrasi.
Copyrights © 2018