Syariat menetapkan syarat sah solat bagi wanita muslimah adalah menutup aurat ketika solat. Ketidak sempurnaan wanita menutup aurat boleh memberikan kesan ibadah solat batal atau kurang ganjaran pahala. Penelitian ini dilakukan bertujuan mengenal pasti hukum dan batasan dagu wanita yang boleh didedahkan ketika solat menurut pandangan ulama mazhab. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui pendekatan analisis kandungan teks dalam kitab-kitab turath. Analisis ini menggunakan kitab-kitab muktabar dari pelbagai pandangan ulama mazhab. Data-data yang diperolehi kemudiannya dianalisis secara induktif dan komparatif bagi menghasilkan kesimpulan yang tepat. Hasil kajian mendapati ulama mazhab secara konsensus dan jelas berpandangan bahawa muka wanita tidak termasuk aurat. Mazhab Mālikiyah dan Hanafiyah berpendapat wanita harus mendedahkan bahagian muka ketika solat, begitu juga mazhab Hanbaliyah kecuali solat di hadapan lelaki ajnabī, wajib menutup muka. Mazhab Syāfi’iyah berpendapat wajib mendedahkan muka ketika solat. Kajian juga mendapati jumhur ulama berpandangan bahawa dagu wanita termasuk aurat ketika solat, namun tidak semua ulama mazhab bersetuju mendedahkan dagu boleh membatalkan solat, kecuali mazhab Syafi’iyah berpendapat mendedahkan dagu membatalkan solat.