Iklan Khidmat Masyarakat (IKM) adalah suatu pengumuman atau pemberitahuan yang bersifat non komersial yang mempromosikan program-program, kegiatan, perkhidmatan kerajaan, perkhidmatan organisasi bukan perniagaan dan pemberitahuan-pemberitahuan lainnya tentang keperluan perkhidmatan masyarakat dan pemberitahuan yang bersifat komersial (Crompton dan Lamb, 1986). Iklan Khidmat Masyarakat merupakan projek video multimedia yang merangkumi kepelbagaian modaliti seperti elemen grafik, teks, audio dan video. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti mod linguistik yang digunakan dalam menghasilkan IKM selain keberkesanan paparan visual. Data diperoleh daripada rakaman video iklan raya Petronas kerana iklan ini merupakan iklan tahunan yang disiarkan di televisyen. Kerangka konsepsi kajian ini didirikan berdasarkan gabungan Teori Linguistik Sistemik Fungsional (TLSF) dan Teori Multimodaliti (TM). Gabungan kedua teori ini dipercayai dapat membantu menghasilkan IKM yang menepati tema yang dihasratkan oleh pengiklan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa teks bahasa merupakan mod linguistik yang bertindak sebagai elemen multimodal yang berkesan dan menjadi pelengkap kepada mod visual. Dengan kata lain, fungsi teks bahasa adalah untuk menyediakan konteks dalam iklan dengan menambah maklumat supaya penonton dapat memahami mesej yang ditonjolkan.
Copyrights © 2016