AbstrakJika gambar mengungkapkan seribu pengertian, apatah lagi dengan gambar foto. Gambar foto tersirat dengan makna kebenaran yang dirakamkan apabila disiarkan di dalam media massa mampu mencetuskan kebangkitan kesedaran di kalangan pembaca. Gambar foto juga menyiratkan representasi subjek yang dirakamkan. Dalam konteks ini, gambar foto pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia di akhir tempoh pemutihan dianalisis. Sebanyak 14 keping gambar foto yang dianalisis telah disiarkan sepanjang bulan Disember 2004, iaitu 10 keping dari Utusan Malaysia dan 4 keping dari Berita Harian. Kedua-dua akhbar ini dipilih sebab majoriti pembacanya terdiri daripada orang Melayu Islam, yang serumpun dengan PATI Indonesia. Walaupun fenomena PATI merangkumi rakyat dari negara lain juga tetapi dalam kertas kerja ini penumpuan hanya kepada rakyat Indonesia yang bukan sahaja dekat dari segi geografi mahupun budaya. Analisis semiotik yang berakarumbi kepada tradisi Kress dan Van Leeuwen digunakan dalam “membaca” gambar foto menunjukkan PATI digambarkan sebagai “pelarian” yang diburu oleh pihak berkuasa. Walaupun PATI dianggap sebagai tenaga kerja yang berpotensi tetapi status mereka jauh kebelakang berbanding dengan penduduk tempatan. Namun di sebalik “kemuraman” suasana diusir keluar, rakyat Indonesia kelihatan gembira dapat pulang ke kampung halaman. Kata Kunci : Pati, TKI, Analisis visual, Utusan Malaysia
Copyrights © 2008