Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran baru yang dianuti sebahagian besar cendekiawan muslim khususnya yang berlatar belakang pendidikan barat. Penyebaran fahaman Islam liberal ini telah tersebar luas di kalangan cendekiawan muslim Indonesia. Bagi golongan ini agama hendaklah ditundukkan kepada waqi' (realiti) semasa. Penyebar fahaman liberal ini di Indonesia adalah satu jaringan organisasi yang disebut dengan "Jaringan Islam Liberal (JIL). Jaringan Islam Liberal (JIL) berdiri rasmi pada tanggal 8 Mac 2001. Tujuan JIL adalah melawan segala bentuk fundamentalisme dan radikalisme agama. Golongan ini menggunakan metod pentafsiran Al-Quran yang berbeza dengan metod pentafsiran ulama-ulama tafsir sebelumnya dengan menggunakan kaedah Hermeneutika. Hermeneutika adalah merupakan alat yang diguna pakai terhadap teks dalam menganalisis dan memahami maksud teks serta menampakkan nilai yang terkandung di dalamnya. Penelitian kajian ini akhirnya mendapati kaedah Hermeneutika boleh mendekonstruksi (merubah) syariat agama Islam misalnya dengan mengatakan Al-Quran adalah produk budaya, finalitas kenabian Muhammad Saw perlu ditinjau kembali dan lain lain yang sangat menyimpang jauh dari keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah. Peranan Hermeneutika adalah untuk menyingkirkan ilmu alat yang selama ini dipakai dan disepakati ulama tafsir dalam mentafsirkan al-Quran seperti Usul al- Tafsir dan Ulum al-Quran dan beberapa ilmu lain yang telah lama dipakai dalam tradisi Islam. Salah satu tokoh cendekiawan Indonesia yang menggunakan kaedah Hermeneutika dalam pentafsiran ayat al Quran adalah H. Munawir Sjadzali.
Copyrights © 2024