ABSTRAK: Semua bidang pengajian di IPT (Institusi Pengajian Tinggi) di Malaysia, termasuk bidang kesusasteraan tradisional, sebenarnya tidak jauh terpisah daripada industri. Makalah ini membincangkan tentang bidang pengajian kesusasteraan Melayu tradisional yang boleh dijuruskan kepada latihan industri di masa hadapan. Umum sering menganggap bahawa pengajian kesusasteraan hanyalah suatu bidang pengajian yang tertumpu kepada pembacaan teks atau karya semata-mata. Hakikatnya, bidang pengajian kesusasteraan tradisional berkaitan rapat dengan berbagai-bagai unsur asas yang sangat diperlukan oleh industri kreatif di negara ini, terutamanya dalam hal-hal yang berhubungan dengan sejarah sosio-budaya bangsa. Pernyataan ini menyarankan bahawa bidang pengajian kesusasteraan tradisional turut menawarkan berbagai-bagai kebolehan dan kepakaran khusus yang boleh dimanfaatkan dalam kemajuan industri kreatif negara pada masa kini. Oleh itu, makalah ini bermatlamat untuk membincangkan kebolehan dan kepakaran yang ada pada pelajar-pelajar bidang pengajian kesusasteraan Melayu tradisional yang sesuai untuk diterapkan dalam latihan industri kreatif yang sedia ada. Secara tidak langsung, matlamat ini akan turut mengenengahkan bentuk-bentuk industri kreatif sesuai yang boleh memanfaatkan kebolehan pelajar berkenaan. Titik pertemuan antara bidang pengajian kesusasteraan Melayu tradisional dengan latihan industri kreatif akan menjadikan bidang pengajian ini lebih bernilai komersil dan juga mampu dilestarikan sepanjang zaman, biarpun dihimpit oleh pelbagai kemajuan teknologi semasa. KATA KUNCI: Kesusasteraan Melayu tradisional, latihan industri, industri kreatif, kebolehan dan kepakaran, serta teknologi semasa.   Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman dan Dr. Jelani Harun ialah Pensyarah Kesusasteraan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM (Universiti Sains Malaysia), 11800 Minden, Pulau Pinang, Malaysia. Bagi urusan sebarang akademik, penulis boleh dihubungi dengan alamat emel: luthfi@usm.myHow to cite this article? Abdul Rahman, Mohamad Luthfi & Jelani Harun. (2011). âPengajian Kesusasteraan Melayu Tradisional ke Arah Latihan Industri: Suatu Penerokaan di Universiti Sains Malaysiaâ in ATIKAN: Jurnal Kajian Pendidikan, Vol.1(2) Desember, pp.263-278. Bandung, Indonesia: Minda Masagi Press owned by ASPENSI in Bandung, ISSN 2088-1290.Chronicle of the article: Accepted (October 8, 2011); Revised (November 16, 2011); and Published (December 15, 2011).
Copyrights © 2011