Kertas ini membincangkan pengalaman agama yang berkembang dalam tradisi dan kepercayaan samawi. Hal ini disorot dari segi sejarah pertembungannya yang klasik dalam kepercayaan Semitik yang menjelmakan pemikiran tentang manhaj dan tradisi asalnya yang intens yang membentuk ajaran-ajaran keagamaan, falsafah dan prinsip metafiziknya. Ia melihat perkembangannya yang mendasar yang berakar dari warisan Ibrahim dan signifikasinya dalam mengilhamkan dialog peradaban dan konvivensia global yang inklusif dan pluralistik. Idea-idea ini digarap dari pemikiran dan karya-karya klasik dalam korpus perbandingan atau religionswissenschaft yang mempelopori faham yang ideal tentang pengalaman keagamaannya. Kajian ini bercorak kualitatif dalam bentuk analisis kandungan dan tinjauan literatur. Bahan diperoleh dari sumber primer dan sekunder terkait yang dianalisis secara deskriptif, analitis dan perbandingan. Kajian menyimpulkan bahawa esensi dan pengalaman agama ini berkembang dalam tradisi Ibrahim yang berkisar tentang prinsip dan pengalaman-pengalaman metafizik yang transendental. Tema-tema asas ini membentuk nilai dan prinsip yang cuba dikembangkan dalam kajian-kajian klasik yang meluas yang turut mempengaruhi perkembangan semasanya yang instrumental dalam mengikat persefahaman dan memperluas kaki langit tentang pandangan agama yang berbeza dan universal khasnya di Nusantara.
Copyrights © 2024