Artikel ini bermaksud mengkaji latar belakang sejarah pertumbuhan gerakan pembaharuan Islam yang muncul di Minangkabau yang dipelopori oleh Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah atau nama singkatannya Hamka (1908-1981). Isu utama yang dibincangkan ialah konteks pembaharuan sosio-agama yang dicetuskannya dalam arus kemodenan, dan naratif yang terkait tentang pemurnian agama, perjuangan moden dan kesedaran spiritual. Pandangan agamanya memberi pengaruh yang mendalam dalam membangkitkan kesedaran dan perjuangan agama kaum Muda yang tercetus pada permulaan abad ke 20 di kepulauan Melayu-Indonesia. Ia terkesan dengan gagasan-gagasan moden yang dikembangkan dari ajaran Shaykh Muhammad Abduh (1849-1905) yang memberi pengaruh yang fenomenal dan menentukan di gugusan Melayu tersebut. Gerakan pembaharuan ini dipelopori oleh golongan modernis (Kaum Muda) yang menyebarkan idea-idea pembaharuan yang progresif dan dinamik menerusi berkala dan akhbar yang diterbitkan mereka seperti Al-Imam, Al-Munir dan Saudara. Antara perintis yang terawal dalam perjuangan Kaum Muda adalah bapanya sendiri Haji Rasul dan Kiyai Haji Ahmad Dahlan, pendiri Muhammadiyah. Perjuangan ini diwarisi oleh Hamka yang menjadi tonggak dan kekuatan penting dalam pergerakan Muhammadiyah dan penganjur utama idea-idea reformis yang diilhamkan oleh Abduh melalui aktiviti dan penulisannya yang berpengaruh. Dapatan kajian ini merumuskan bahawa gerak perjuangannya telah membawa kesan yang meluas dalam kesedaran moden yang dicetuskan oleh gerakan tajdid dan islah yang tersusun dalam pergerakan Muhammadiyah yang dipimpinnya. Justeru artikel ini ingin menzahirkan legasi dan sumbangannya yang bermakna dalam sejarah dan tradisi pembaharuan dan pemodenan Islam di dunia Melayu.