Abstrak Makalah ini bertujuan mengkaji pengaruh Abu’l-Walid Muhammad ibn Ahmad ibn Rushd (1126-1198) dalam mencetuskan kebangkitan dan pencerahan akliah di Eropah. Pengaruh dari falsafahnya yang ditulis dalam rangka kurun ke-6–12 Hijrah menzahirkan pengaruh dan kesan yang dramatik dalam pembikinan tamadun Eropah di kemuncak peradabannya pada kurun ke 18 M. Kesan sejarah yang fenomenal ini tertegak dan dizahirkan dalam pandangan dan kebudayaan yang berkembang di dunia Barat. Kajian ini dirangka berasaskan pendekatan kualitatif dari jenis tinjauan dokumenter dan analisis kandungan. Data diperoleh dari sumber-sumber primer (khasnya buku Fasl al-Maqal oleh Ibn Rushd) dan sekunder (tulisan-tulisan yang dihasilkan tentang Ibn Rushd dan karyanya) dan diolah secara deskriptif dan analitis, dengan teknik taakulan yang bersifat tematis, hermeneutis, sintesis, dan historis. Dapatan kajian mendapati bahawa pemikiran dan idealisme yang dicetuskan oleh karya-karya besar Ibn Rushd terutamanya Fasl al-maqal, telah menghasilkan perubahan radikal dalam masyarakat Eropah. Pemikiran yang dirumuskannya telah mengangkat tamadun baru dan menzahirkan kekuatan yang meyakinkan dalam sejarah dan kebudayaan Andalusia. Makalah ini melukiskan pengaruh yang monumental dari tulisannya yang penting ini dalam tradisi sejarah dan keilmuan Islam di Eropah. Ia berkesimpulan bahawa karya utama Ibn Rushd yakni Fasl al-Maqal telah mendorong kepada penemuan idea-idea pencerahan di Eropah dan menciptakan gerakan rasionalisme di Barat. Kata kunci: Ibn Rushd, Fasl-Maqal, Renainsans, Eropah dan Islam, Peradaban Dunia